Makna air mata seorang INSAN

11 June 2009


Pernahkah anda menangis?

Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.

Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan.

Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi.

Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti! Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

# Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.

# Menangis kerana rasa takut.

# Menangis kerana cinta.

# Menangis kerana gembira.

# Menangis kerana menghadapi penderitaan.

# Menangis kerana terlalu sedih.

# Menangis kerana terasa hina dan lemah.

# Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

# Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

# Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.

Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka.

Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:

# Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.

# Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.

# Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud: “Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.

# Apabila dahinya berpeluh.

# Air matanya berlinang.

# Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t.

Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

Nasihat satu budaya yang elok


Budaya saling nasihat-menasihati sudah semakin pupus dan tidak dititikberatkan lagi. Inilah hakikat yang harus kita telan walaupun pahit. Tidak diragukan lagi masing-masing kelihatan sibuk dengan urusan duniawi sehingga tiada masa menyuburkan budaya itu walaupun dalam keluarga sendiri.

Padahal kita tahu manusia sepanjang hidupnya memang memerlukan kepada nasihat, teguran dan saling ingat-mengingati, berpesan-pesan antara satu sama lain supaya diri tidak terus terpesong daripada landasan syariat Islam.

Apabila budaya nasihat-menasihati tidak dijadikan amalan sudah tentu masyarakat hidup dalam suasana penuh celaru, keliru, lalai dan mengikut hawa nafsu semata-mata.

Bagi orang beriman yang selalu berlumba-lumba untuk beramal salih, masa bagi mereka sangat penting dan berharga, tetap akan diisi dengan budaya nasihat-menasihati sebagai satu kewajipan yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan.

Allah memberi gambaran jelas bagaimana seharusnya seorang yang beriman tatkala berada dalam masyarakatnya. Firman-Nya yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran." (Surah al-Ashr, ayat 1-3)

Iman dan amal salih saja ternyata masih merugikan sebelum menyempurnakan dengan semangat saling memberi nasihat serta bersabar dalam mempertahankan kebenaran dan kesabaran demi memperoleh keselamatan hidup di dunia dan akhirat.

Semua orang Islam itu bersaudara dan perlu saling sayang-menyayangi tanpa mengira kedudukan. Apabila menyedari hakikat ini, maka seorang Muslim sejati pasti tidak akan tergamak membiarkan saudaranya berada dalam kealpaan dan kesesatan yang sangat dimurkai Allah.

Pasti akan ditegur atau dinasihati jika ada saudara kita melakukan kesilapan supaya dengan demikian kehidupan mereka mengarah kepada ajaran Islam sebenar. Keadaan ini selari gesaan Islam supaya umatnya hidup dalam suasana damai dan bagi mencapai maksud itu masyarakat wajar bertindak memperbaiki apabila melihat kesalahan berlaku.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW selalu menekankan pentingnya nasihat kerana ia adalah suruhan agama. Daripada Tamim ad-Daari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ad-din itu nasihat (tiga kali) maka kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah? Sabdanya: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin dan yang dipimpin (orang biasa)." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sebagai umat Islam yang taat dengan ajaran Islam dan selalu rindu kepada keredaan Allah, tentu akan menghindari daripada cara hidup bersendirian tanpa memikirkan atau mempedulikan masalah masyarakat sekeliling.

Seorang Muslim memang ada hak dan tanggungjawabnya terhadap Muslim yang lain seperti dijelaskan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam.

Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatlah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya amalan nasihat-menasihati adalah salah satu cara yang boleh menutup kekurangan dan keaiban yang ada di antara kita, memberi keuntungan dan keselamatan bagi yang mahu menerima nasihat serta mengamalkannya dalam kehidupan.

Di samping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama Islam serta mengukuhkan kesatuan umat Islam seluruhnya. Apabila amalan ini dapat dihidupkan, sudah pasti ia akan membuahkan suasana kemesraan sekali gus mengelak tercetusnya api permusuhan dan perpecahan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya."
(Surah ali-Imran, ayat 104)

Selain disuruh memberi nasihat, kita juga dituntut supaya ikhlas dan berlapang dada dalam menerima nasihat. Kadangkala ada di kalangan kita yang marah dan tidak senang hati apabila ditegur atau diberi nasihat.

Padahal, nasihat yang diberi itu semata-mata supaya kita menjadi orang yang baik, kembali ke jalan benar selepas tersilap langkah dan inilah sebenarnya yang dikehendaki agama.

Rasulullah SAW pernah meminta nasihat daripada sahabatnya dalam menguruskan umat dan berlaku peperangan.

Al-Quran ada menceritakan bagaimana Nabi Musa menerima secara ikhlas nasihat yang diberikan seorang daripada kaumnya seperti termaktub dalam ayat yang bermaksud: "Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, Sesungguhnya pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu, oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim." (Surah al-Qashash, ayat 20-21)

Tidak dinafikan jika dalam masyarakat tidak ada budaya nasihat-menasihati dan amar makruf nahi mungkar, ia adalah petanda masyarakat yang tidak bertanggungjawab, tiada kesepakatan, penuh dengan sifat mazmumah serta mementingkan diri sendiri.

Masyarakat sebegini sebenarnya lupa pesan agama bahawa sebahagian Muslim menjadi penolong dan pelindung kepada Muslim lain. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Bagi mencipta masyarakat yang baik, maka perlulah wujud suasana saling nasihat-menasihati, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar di mana saja sepanjang masa. Inilah yang dikatakan sebaik-baik umat.

JOM kita ke Matruh dan Siwa

Assalamualaikum w.b.t

Salam percutian kepada semua sahabat-sahabat yang dirahamati Allah sekalian.Sebenarnya saja jer nak posting tentang iklan ke matruh siwa anjuran dpmz..sama-samalah kita memeriahkannya..

Antara kenangan EMASZ 08' tahun lepas..


Kenali lelaki dan ragam mereka.

26 May 2009


Tiap orang punya perasaan untuk mencintai dan dicintai. Tipulah kalau ada yang menafikannya. Cuma mungkin ada yang masih belum bersedia untuk menjalinkan sebarang komitmen dan maintain single. Bukan apa, itupun satu langkah berjaga jaga.. takut tersalah pilih! Maklumlah, lelaki ni banyak jenis dan spesisnya (sama macam perempuan juga)! Tersilap pilih, merana badan.Tak usah terlalu memandang paras rupa yang tampan bergaya tapi perangai… Tuhan saja yang tahu! Yang penting, hati kita bahagia bersamanya. Rupa tu, asalkan `sedap’ mata kita memandang, cukuplah. Orang lain tu, peduli apa! Kalau bahagia…. kita. Kalau derita pun… kita yang tanggung! Di bawah ini diberikan beberapa cara untuk mengenali jenis lelaki yang ada agar anda boleh membuat pemilihan yang sewajarnya!


Lelaki Bersemangat

Bagaimana mengenali mereka:
Personaliti diri mereka boleh dikenali menerusi penampilan fizikal mereka. Selalunya mereka yang punya semangat tinggi dalam hidup akan sering kelihatan kepenatan. Mungkin selepas makan atau merokok. Dia juga seorang yang lebih suka memendam rahsianya seorang diri dan dari segi kewangan, tidaklah begitu berwang sangat. Satu lagi sikapnya, sering marah dengan ahli keluarga yang lain. Mungkin sebab kekurangan ehat akibat penat bekerja dan melakukan segalanya begitu bersungguh-sungguh.

Maknanya:
Biarpun mereka ini sering keletihan tapi sebenarnya mereka ini seorang yang sangat bersemangat dalam hidup dan sanggup bekerja keras demi kepentingan keluarga. Kamu boleh bergantung hidup padanya. Cuma sekiranya kamu tak dapat menyesuaikan diri dengan sikap mereka yang keterlaluan dalam kerjaya, boleh membuatkan hubungan itu tidak berjaya seperti yang sepatutnya! Sebaliknya kamu mungkin boleh menjadi pendorongnya di dalam kerjayanya itu.


Lelaki Takut Komitmen

Bagaimana mengenali mereka:
Dia sememangnya seorang lelaki yang sangat pandai bergaya dan sentiasa berpakaian kemas. Tiap apa yang dipakainya cukup sesuai dengan majlis dan suasana. Pendek kata, mereka memang trendy dari segi pemakaian dan imej diri. Selain itu, telefonnya juga asyik berdering dan pemanggilnya sudah tentu terdiri dari-pada gadis-gadis.Mengalahkan VIP pulak tu!

Maknanya:
Sekiranya dia mempamerkan antara sikap begitu, dia dikatakan seorang yang tak boleh dipercayai sangat apa yang diucapkan pada kamu. Mungkin hari ini dia melafazkan kata suka padamu tapi beberapa minggu kemudian, dia seolah-olah tak mengenali kamu selama ini! Dalam erti kata yang sebenarnya, dia masih belum bersedia untuk menjalinkan komitmen dengan mana-mana gadis buat masa itu.

Lelaki Anti Perempuan

Bagaimana mengenali mereka:
Perhatikan corak mereka berbelanja, memang boros. Mereka juga kadangkala gemar mengumpul sesuatu benda sebagai koleksi. Mereka juga tidak sukakan kanak-kanak dan tak begitu rapat dengan keluarga sendiri.

Maknanya:
Sebenarnya mereka ini bukanlah anti perempuan sangat tapi jenis lelaki yang lebih suka mempergunakan wanita untuk kepentingan mereka. Sebelum memiliki seseorang wanita, mereka sanggup melakukan apa cara sekalipun tapi bila dah dapat, semuanya tak kena! Tapi sikap ini akan berubah bila di satu ketika dia akan mendapati dirinya terpikat dengan seorang wanita tapi sudah pastinya perempuan itu seorang yang menurut kehendaknya!

Lelaki Playboy

Bagaimana mengenali mereka:
Selalunya mereka ini seorang yang berpenampilan menarik dan up to date. Biarpun kadangkala mereka tu taklah begitu kacak sangat dari segi paras rupa, tapi penampilan mereka buat mereka cukup menawan. Kalau bercakap, memang romantis sekali. Kiranya pandai ayat lah ni! Mereka selalunya memiliki kereta berjenama terkenal dan tinggal di kawasan mewah. Jarang sekali mereka bercakap tentang keluarga mereka.

Maknanya:
Mungkin mereka ini belum terfikir untuk kehidupan berkeluarga. Hanya mementingkan keseronokan hidup saja dan mustahil jika mereka inginkan sesuatu yang teramat berharga daripada perempuan! Mungkin kerana penampilan diri mereka yang menarik hati, membuatkan mereka sering menjadi perhatian. Jadi, berhati-hatilah! Ada yang berjaya mengikis sikap itu bila usia makin menginjak dewasa tapi usah terperanjat kerana ada yang masih kekal dengan perangai playboy itu biarpun usia dah veteran!

Lelaki Tradisi

Bagaimana mengenali mereka:
Corak berpakaian mereka selalunya sederhana saja, taklah terlalu kuno atau up to date sangat. Tapi mereka agak suka memerintah orang lain menuruti kehendak mereka. Selain itu, dia sangat bijak mengatur soal kewangannya dan sukakan perempuan yang mampu membuatkan jiwanya tenang.

Maknanya:
Bermakna dia ini mampu menjadi suami yang baik nanti. Bagi dirinya, keluarga adalah segala-gala dalam hidupnya. Mereka impikan sebuah keluarga yang bahagia dan itu juga bermakna dia tak takutkan komitmen.

Lelaki Korporat

Bagaimana mengenali mereka:
Selalunya mereka ini agak pendiam dan suka berfikir secara logik dan rasional. Bagi dirinya kerjaya adalah perkara yang paling penting dalam hidup. Dia juga pentingkan kesempurnaan termasuk dalam memilih pasangan hidup. Jika ditanya, mungkin mereka akan mengatakan bahawa mereka tak merancang untuk membina keluarga dalam masa yang terdekat itu.

Maknanya:
Ternyata mereka ini lebih pentingkan kerjaya dan kejayaan dalam hidup. Sebab itulah dia akan memilih wanita yang pandai berdikari sebagai pasangan. Biarpun romantis tapi kamu tetap akan jadi yang kedua dalam hidup selepas kerjaya.

Lelaki Keparat

Bagaimana mengenali mereka :
Lelaki jenis ini suka bersikap ego dan mementingkan diri sendiri berbeza dengan lelaki korporat yang berfikiran rasional.Lelaki jenis ini selalu memerintah dan memeras ugut sesiapa saja dan boleh dilihat di kawasan parking kereta dan tempat di mana kutu rayau selalu berada.

Maknanya :
Lelaki jenis keparat ini tidak sesuai dijadikan suami kerana perangainya memang teruk dan asyik meminta wang semasa orang ramai parking kereta atau motor. Lagipun wang yang diperolehi digunakan untuk membeli najis dadah dan sebagainya. Mungkin anda juga boleh dijual atau dijadikan bola sepak.
 
Ceritera Diriku. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger